Tuesday, October 9, 2012


KENYATAAN AKHBAR
YB PUAN DR.HJH  HALIMAH ALI 
EXCO PENDIDIKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

PENGABAIAN BANTUAN SEKOLAH AGAMA MILIK MASYARAKAT(SAR) DALAM PEMBENTANGAN BAJET 2013 OLEH PERDANA MENTERI


1. Saya teramat kesal sikap kerajaan Malaysia yang tidak adil dalam agihan bajet 2013 untuk pendidikan  kepada pelbagai kelompok warganegara. Di mana perginya 1Malaysia??
 
2.   Perkara yang amat ketara dalam pembentangan bajet tahunan oleh YAB PM pada 24/9/12 ialah TIADA peruntukan langsung untuk SEKOLAH AGAMA RAKYAT(SAR). Ini seolah-olah menggambarkan kerajaan UMNO-BN telah mendiskriminasikan ibubapa yang MEMILIH untuk menghantar anak-anak mereka di peringkat dasar(sekolah rendah) yang berorientasikan agama.

3.   Apa bezanya hak mereka ini dengan hak ibubapa yang memilih untuk menghantar anak ke SJKC, SJKT, Muballigh dan SK ? Bukankah ibubapa warganegara sah ini juga mempunyai hak menghantar anak mereka ke jenis persekolahan yang mereka pilih? Bukankah keperluan mereka juga diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia?

Petikan Perlembagaan Malaysia(Bahagian 2 Hak Asasi)
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.

(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau

(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).

4. Tiada peruntukan kewangan untuk Institusi pendidikan Islam seperti elaun guru, latihan perguruan dan sekolah KAFA seperti mana tahun-tahun sebelum ini menjadikan sekolah ini terus terpinggir dalam arus pendidikan perdana. Jauh sekali sekolah agama milik kerajaan negeri sedangkan institusi ini memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak bangsa. Aspek pendidikan ini tidak dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun kerajaan mendakwa agama Islam antara hak keistimewaan orang-orang Melayu.


5.   Peruntukan RM 100 juta yang diberikan kepada  Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah sekolah peringkat menengah bukan peringkat dasar(rebung) yang mahu diperkayakan dengan budaya dan jati ummat seperti yang dipraktikkan golongan Tionghua dan India, yang masing-masing diperuntukkan RM100 juta. Sekolah muballigh pun mendapat RM100juta. Kenapa SAR tidak dapat peruntukan langsung!!??


SABK tidak mewakili semua jenis sekolah agama

6.  Peruntukan SABK BUKANLAH bantuan menyeluruh kepada sekolah agama kerana masih banyak sekolah agama yang tidak bersedia untuk mendaftar. Kerajaan tidak boleh menyalahkan pihak sekolah dan negeri untuk tidak mendaftar sebagai alasan bantuan tidak diberikan kerana mereka telah berdaftar dengan Enakmen Majlis Agama Islam Negeri, berdaftar sebagai sekolah yang menjalankan peperiksaan kebangsaan, pelajar juga mendaftar sebagai calon peperiksaan. Lebih mustahak lagi mereka sudah mendaftar sebagai warganegara Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Negara bagi membolehkan peruntukan diberikan untuk kepentingan rakyat (ke mana pergi cukai untuk pendidikan mereka).

7. Ironinya, bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap murid dari darjah 1 hinggaTingkatan 5 boleh pula diberikan termasuk sekolah yang tidak berdaftar dengan kerajaan. Kesukaran dan sikap ambil mudah dalam memberikan perhatian kepada sekolah agama seolah-olah mereka bukan rakyat Malaysia! 

8.  Sekolah Agama milik kerajaan negeri berjumlah 107 buah dengan bilangan kelas 2, 064, bilangan guru 4, 680 orang, bilangan pelajar 62, 929. Sekolah agama milik masyarakat berjumlah 142 dengan jumlah kelas 1,392, bilangan guru 3, 073 dan pelajar berjumlah 37, 150.

Jumlah ini belum mengambil kira sekolah jenis yang sama bagi  peringkat rendah kerana operasinya yang berbeza antara negeri dengan negeri yang lain. Jumlah sekolah-sekolah ini ialah 1, 890, dengan jumlah guru 14, 167. Bilangan pelajarnya 529, 645 orang. Bilangan ini belum termasuk sekolah agama swasta dan sekolah yang diusahakan secara persendirian termasuk yang tidak mendaftar dengan mana-mana kerajaan yang jumlahnya tidak kecil. Kewujudan dan realitinya ada di hadapan kita. Jumlah ini secara kasarnya adalah 30 % daripada keseluruhan pelajar-pelajar Islam di seluruh Malaysia!

9.  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan oleh PM awal bulan lepas  menekankan keutamaan kepada peranan ibu bapa, masyarakat dan pihak swasta dalam memberikan sumbangan kepada sekolah sebagai rakan baru. Namun, semangat ini tidak diterjemahkan secara menyeluruh dalam bajet yang menganaktirikan sekolah agama.

10. Menyerahkan peranan ini kepada Kerajaan Negeri semata-mata atas nama agama kuasa negeri adalah sikap yang tidak bertanggungjawab kerana Negeri sendiri sudah lama terbeban dengan kewangan khususnya dalam aspek pendidikan. Negeri Selangor membelanjakan RM 264 juta untuk 2011.Negeri Kelantan, telah membelanjakan hampir 70 juta setahun untuk pendidikan untuk pendidikan dan ia semakin bertambah setiap tahun. Kedah, negeri yang agak miskin juga berkorban apabila sebanyak lebih daripada 60 juta diperuntukkan kepada pendidikan Islam..Perlu disebutkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah memainkan sebahagian besar peranan dalam melaksanakan kurikulum kebangsaan.

11. Sebahagian sekolah agama terpaksa ‘diswastakan’ dalam ‘negara Islam’Malaysia kerana kerajaan BN tidak mesra pendidikan Islam. Lama-kelamaan sekolah ini terpaksa menawarkan system pengajian yang agak mahal bagi meneruskan kelangsungan sistem pengajiannya atas dasar keperluan dan beban pendidikan jenis ini ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa dan masyarakat. Atas dasar inilah kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor memperuntukkan RM6juta setahun khusus untuk sekolah agama rakyat(SAR) semenjak 2009.Tahun ini ditambah sebanyak RM8.5juta sebagai pengiktirafan SAR melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

12. Persepsi sekolah agama berada di luar system pendidikan kebangsaan kurang tepat kerana dari sejarah ia sudah lama berubah system dari pondok kepada madrasah dan kemudiannya sekolah agama.  Tinggal lagi bagaimana kita meletakkannya dalam system pendidikan yang sesuai tanpa menjejaskan identiti, akar budaya dan kurikulum yang tersembunyi. Oleh sebab itulah, SABK yang menjadi cadangan baru kerajaan kepada sekolah agama dilihat bersifat material, birokratik dan berdepan dengan pelbagai tanggapan keyakinan.

13. Apakah usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkasakan LEPAI sepertimana yang telah dititah oleh Yang Dipertuan Agung dalam Kongres Majlis-Majlis Agama Islam Negeri 2011. Titahan Diraja ini diperkukuhkan lagi dengan Kongres Pendidikan Islam Kebangsaan pada awal tahun ini di Perlis di mana Raja Perlis telah menitahkan perkara yang sama. Apakah kerajaan secara diam telah membelakangi Majlis Raja-Raja dalam menjaga institusi Pendidikan Islam sepertimana yang di amanah kepada mereka? Apakah peranan yang dimainkan oleh PM selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKIK)?

14. Sudah banyak  Seminar Pendidikan Islam sama ada peringkat kebangsaaan mahupun antarabangsa diadakan, pelbagai cadangan dan saranan dikemukakan namun kerajaan masih mengambil sikap pekak, bisu dan buta dalam menjaga keperluan pendidikan Islam dalam masyarakat. Pada tahun lepas sahaja sebanyak 11 seminar tentang pendidikan Islam dianjurkan termasuk anjuran JAKIM dan Kementerian Pelajaran sendiri.

15. Bantuan kepada sekolah agama sebelum ini tidak konsisten, sekejap timbul sekejap tenggelam sedangkan kerja-kerja mereka tidak pernah berhenti untuk membina anak bangsa sesuai dengan Falsafah Pendidikan Islam dan Kebangsaan. Sebarang bentuk bantuan kepada sekolah agama tidak seharusnya dijadikan medan untuk lobi-melobi dalam kalangan agamawan dan ahli politik kerana ia seharusnya diberikan atas dasar tanggungjawab. Ia tidak perlu melalui desakan dan tuntutan mana-mana pihak.

16. Hakikatnya, salah satu kesan besar kejayaan kolonialisme British ialah memecahkan identity Melayu yang terikat kuat dengan identity keIslaman satu ketika dahulu hancur dengan perancangan licik dalam aspek pendidikan. British akhirnya berjaya memisahkan pendidikan Islam yang menjadi asas utama pembinaan dunia Melayu kepada dunia pendidikan Melayu yang sempit. Pendidikan Islam secara perlahan-lahan menjadi kabur dalam peta nasionalisme  yang dikemudikan oleh kerajaan UMNO –Barisan Nasional.


YB Dr Hjh Halimah Ali
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan
Kerajaan Negeri Selangor
MerangkapTimbalan Pengerusi
Lajnah Pendidikan PAS Pusat
3.10.12

Monday, December 12, 2011

Sembah Ucapan EXCO PENDIDIKAN SELANGOR di majlis perasmian PPAS



TEKS UCAPAN

Y.B. DR. HAJAH HALIMAH ALI, PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH PPAS

DI MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN BARU PERPUSTAKAAN RAJA TUN UDA, SHAH ALAM

PADA 10 DISEMBER 2011 (SABTU) JAM 10.00 PAGI


Bismillahi rahman nirrahiim

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SELAMAT SEJAHTERA

Menghadap Duli Yang Maha Mulia

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Shah Al Haj

Dan Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

AMPUN TUANKU beribu-ribu ampun SEMBAH PATIK mohon DIAMPUN .

bagi pihak seluruh ahli lembaga pengarah, ahli-ahli jawatankuasa perasmian dan seluruh kakitangan perpustakaan, patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt di atas perkenan duli yang maha mulia tuanku mencemar duli untuk bersama rakyat pada majlis perasmian bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda ini.

Menjunjung kasih atas perkenan duli tuanku memasukkan perasmian ini dibawah salah satu majlis program ulang tahun hari keputeraan ke 66 tuanku.

Kunjungan Duli Tuanku amat besar ertinya kepada patik-patik sekalian. Sebagai payung rakyat, keberangkatan duli tuanku adalah satu suntikan semangat kepada 230 kakitangan perpustakaan bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan dan terus gigih berusaha dalam membudayakan masyarakat dengan budaya membaca setanding dengan amalan masyarakat di negara maju.

Perkhidmatan perpustakaan di Selangor telah berusia 40 tahun bermula pada tahun 1971 dengan pengambilalihan kelab buku Kuala Lumpur pada 20 Oktober 1971. Perpustakaan ini kemudiannya berpindah ke Shah Alam pada 16 November 1986 dan sekali lagi telah berpindah ke bangunan baru ini pada 15 April 2011.

Bagi pihak seluruh pengurusan dan warga perpustakaan awam Selangor patik bersyukur dan berterima kasih diatas pembinaan perpustakaan baru ini. Cadangan pembinaan perpustakaan ini merupakan idea dan keperihatinan tuanku terhadap budaya ilmu dan membaca yang harus dipertingkatkan dikalangan masyarakat Selangor setanding dengan negara maju. Justeru itu, ketika Selangor diiystiharkan negeri maju pada tahun 2005, beberapa cadangan telah dikemukakan sebagai mercu tanda Selangor maju, namun Tuanku telah berkenan bagi pembinaan sebuah perpustakaan sebagai hadiah kepada masyarakat Shah Alam khususnya dan rakyat Selangor amnya.

Bangunan setinggi 6 tingkat ini berkeluasan 203,600 kaki persegi (18, 922 meter persegi) dan boleh memuatkan seramai 2,500 orang serta 400,000 naskah buku pada satu-satu masa. Dengan bangunan baru ini patik sekalian berazam untuk terus menyediakan koleksi-koleksi yang terkini, bahan-bahan ilmiah dan penyelidikan, usaha-usaha pendigitalan, pengumpulan koleksi terbitan Selangor, koleksi terbitan diraja dan menteri-menteri besar Selangor. Disamping itu, kemudahan-kemudahan teknologi maklumat dan edutainment (iaitu gabungan diantara education dan entertainment) juga akan dititik-beratkan sejajar dengan perkembangan semasa.

Perpustakaan baru ini dibina dengan kos bangunan berjumlah RM 60 juta dan kos rekabentuk dan prasarana dalaman berjumlah RM 10 juta. Jika dibahagikan dengan keluasan bangunan kos rekabentuk dalaman bagi setiap kaki persegi hanya RM 49.00 sahaja. Namun, apa yang kita lihat tersedia kepada pelbagai pengguna keselesaan dan peralatan yang terkini.Bahkan kita turut mengambilkira keperluan ORANG KELAINAN UPAYA sejajar dengan konsep merakyatkan ekonomi Selangor, hasil negeri untuk rakyat.

Patik serta warga perpustakaan juga menjunjung kasih kepada tuanku yang begitu prihatin dalam pembangunan koleksi bahan bacaan dan kajian di perpustakaan. Dimana tuanku sendiri telah berkenan untuk menyumbangkan 1200 naskah buku yang berkualiti dan terkini dari luar negara sebagai permulaan. Justeru itu, satu rak yang khusus akan disediakan bagi memudahkan pengguna merujuk, mengulangkaji dan membuat pinjaman bahan – bahan berkenaan.

Perpustakaan juga sentiasa memperkenalkan ciri-ciri yang berbeza dan sentiasa relevan kepada kehendak masyarakat semasa. Justeru itu selain daripada koleksi bahan yang terkini dan memenuhi kehendak masyarakat pelbagai kemudahan juga disediakan diantaranya ialah:

Ø Book wall - rak book wall boleh memuatkan kira-kira 1,500 naskah buku secara susunan menghadap depan. Manakala jika buku disusun secara biasa (tetulang buku di sebelah hadapan), sekitar 10-12 ribu naskhah buku boleh dimuatkan. Book wall ini dibahagikan kepada empat tema di empat tingkat: anatomi manusia di tingkat 1, lautan di tingkat 2, bumi di tingkat 3 dan angkasa lepas di tingkat 4,

Ø Zon kreatifzon kreatif terletak diruang kanak-kanak, meliputi reading tree, pentas dan bilik aktiviti kanak-kanak. Di zon siber bahagian kanak-kanak telah disediakan 8 komputer peribadi hp windows 7, dan 8 komputer imac untuk pengguna kanak-kanak melayari internet. Sudut interaktif pula merupakan sudut di mana terdapat permainan interaktif untuk kanak-kanak seperti nintendo wii, i-step, ubiq-window dan on location reporter.

Ø Gimnasium - perpustakaan mempunyai 3 gimnasium iaitu gimnasium utama di tingkat terbawah dan 2 gimnasium mini yang dikhususkan untuk lelaki dan wanita. Penyediaan kemudahan ini adalah berkonsepkan ‘healthy body and healthy mind’.

Ø Teater 6D & 3D - teater XD mempunyai 8 unit kerusi berteknologi 6D motion ride iaitu gabungan kesan khas pencahayaan, gegaran, angin, visual 3D dan bunyi. Manakala bilik mini 3D yang berkapasiti 30 orang, merupakan ruang aktiviti bagi tayangan filem-filem yang berteknologi 3 dimensi.

Ø Multimedia & wi-fi - terdapat 100 unit komputer yang terdiri daripada 38 imac dan 62 hp windows 7 untuk pilihan pengguna di setiap tingkat. Perpustakaan juga dilengkapi dengan kemudahan wifi percuma dengan kelajuan 4mbps.

Ø Dewan & bilik seminar perpustakaan juga mempunyai auditorium yang boleh memuatkan 200 orang. Terdapat juga dewan dan bilik seminar yang boleh digunakan untuk tujuan seminar, bengkel dan ceramah

Ø Kemudahan-kemudahan lainseperti kafetaria, surau, laman ilmu, bilik muzik, kedai buku, bilik-bilik mesyuarat dan perbincangan.

Ampun tuanku

Perpustakaan telah berkembang secara berperingkat-peringkat di seluruh negeri selangor dan kini terdapat 96 perpustakaan yang terdiri daripada perpustakaan pusat, perpustakaan daerah, perpustakaan pekan, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak.

Sambutan dari masyarakat juga amat membanggakan dengan mencatatkan jumlah keahlian dan pinjaman yang terus meningkat. Dari tahun 1972 sehingga 2010 rekod keahlian bagi seluruh selangor adalah 951,702 keahlian dan statistik pinjaman adalah 28.6 juta pinjaman (secara terperincinya ialah 28,615,804 pinjaman). Pembelian buku pula berjumlah 3.4 juta naskah (secara terperincinya berjumlah 3,460,906 naskah buku).

Patik sekalian warga perpustakaan bersyukur ke hadrat ILAHI dan menjunjung kasih kepada tuanku yang mengurniakan bangunan baru perpustakaan untuk kemudahan masyarakat. Dari mula dibuka perkhidmatannya pada 22 Julai 2011 sehingga 30 November 2011 yang lalu, perpustakaan baru ini telah mencatatkan jumlah pengunjung seramai 140,071, pendaftaran keahlian baru 8,446, pinjaman bahan berjumlah 25,796.

Disamping itu perpustakaan juga menjadi tumpuan pelawat, sebanyak 105 lawatan dengan jumlah pelawat seramai 5,577 telah diterima meliputi jabatan kerajaan, swasta, persatuan, institusi pendidikan, kedutaan dan pelawat dari negara luar seperti Mesir, Singapura, Indonesia dan lain-lain.

Ampun tuanku

Dengan perkenan tuanku, perpustakaan ini juga sedang dalam proses menubuhkan sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda. Yayasan ini bertujuan bagi mengurus dan mentadbir sumbangan dan derma yang diterima bagi pembangunan koleksi dan prasarana perpustakaan.

Ucapan penghargaan kepada Puan Mastura Haji Muhamad, pengarah perpustakaan serta seluruh warga perpustakaan yang sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan melalui ’penjenamaan semula perpustakaan’ (rebranding) dan menyediakan keselesaan kepada pengguna yang berkonsepkan ’rumah keduaku’ (my second home).

Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah membantu menyempurnakan majlis pada hari ini. Patik, ahli-ahli jawatankuasa dan warga kerja perpustakaan berasa amat berbesar hati di atas perkenan duli tuanku untuk menyempurnakan perasmian bangunan baru perpustakaan raja tun uda ini.

Ampun tuanku

Izinkan patik berkongsi dengan rakyat sekalian

Beberapa rangkap seloka.

SALAWAT DAN SALAM JUNJUNGAN mulia

Moga usaha barakah dipinta

Kepada Tuhan Yang Maha Esa

Pimpinlah kami ke jalan yang di redha

Rakyat Melayu, Cina, India bersatu

Di pusat/gedung ilmu Selangor maju

Tamaddun unggul mahu dituju

Moga ALLAH memberi restu

Teras utama pembangunan mampan

Kerajaan Selangor sedang perjuangkan

Memacu pembangunan modal insan

Di ibu kota

Tersergam indah sebuah perpustakaan

Ikon negeri

Selangor Hub Ilmuwan Hub Pendidikan

Ke arah wawasan

Selangor negeri idaman,

Maju, sejahtera dan berkebajikan

Iqra’, bacalah. wahyu pertama

Isyarat signifikan ilmu mesti diutama

Dunia berjaya akhirat bahagia

Wahyu Tuhan formula sempurna

Selangor mengorak langkah ke arah

Baldatun tayyibatun wa rabbun ghafuur

Aamiin ya Rabbal alamiin

Ampun tuanku

Sebelum patik mengakhiri sembah ucapan, patik mendoakan agar tuanku dirahmati Allah dan selamat bersemayam di atas takhta kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan dengan penuh ketakwaan dan mendapat hidayah daripada Allah Tuhan Yang Maha Kuasa .

Ampun Tuanku.

Wabillahi taufik wal hidayah

Wasalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.