Tuesday, November 20, 2012

YAPIS PENGAMBILAN PELAJAR TINGKATAN 1 TAHUN 2013 DI KITTIS KLANG DAN SABAK BERNAM


YAYASAN PENDIDIKAN ISLAM SELANGOR (YAPIS)
KOLEJ INTEGRASI TAHFIZ TUNAS ILMUWAN SELANGOR (KITTIS) KLANG DAN SABAK BERNAM

PENGAMBILAN PELAJAR TINGKATAN 1 2013

Yayasan Pendidikan Islam Selangor atau YAPIS telah menubuhkan 2 Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) iatu sebuah di Klang dan sebuah lagi di Sabak Bernam. Kini, kedua-dua KITTIS ini mempelawa dan mengalu-alukan permohonan pelajar bagi mengikuti Tingkatan 1 pada tahun 2013

Visi KITTIS:              Menjana para huffaz profesional yang berterampilan dalam semua bidang.

Misi KITTIS:             Melahirkan generasi ilmuwan huffaz yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa

Syarat Layak Kemasukan

1) Lulus UPSR dengan kelulusan minimum 3A 2B
2) Lulus PSRA dengan JAYYID JIDDAN
3) LULUS TEMUDUGA, UJIAN BERTULIS dan  HAFAZAN AL QURAN
4) BERSEDIA ditempatkan DI KITTIS KLANG ATAU SABAK BERNAM
5) TERBUKA UNTUK PELAJAR MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

BORANG PERMOHONAN BOLEH DIDAPATI dengan memuat turun melalui pautan
ATAU mengambilnya di PEJABAT YAPIS di alamat LOT 10 TINGKAT 
1A PLAZA PERANGSANG JALAN PERBANDARAN ,40000 SHAH ALAM ,SELANGOR ATAU di PEJABAT EXCO PENDIdIKAN ,PENDIDIKAN TINGGI DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN ,TINGKAT 12 ,BANGUNAN SSAAS ,40000
SHAH ALAM SELANGOR .

TARIKH TUTUP PERMOHONAN: 8/12/2012 .

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI USTAZ FATAH, Tel 019 987 1099 atau Hj Azmi 019-386 5595 atau Dato’ Latifah 019 4545846.



Tuesday, October 9, 2012


KENYATAAN AKHBAR
YB PUAN DR.HJH  HALIMAH ALI 
EXCO PENDIDIKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

PENGABAIAN BANTUAN SEKOLAH AGAMA MILIK MASYARAKAT(SAR) DALAM PEMBENTANGAN BAJET 2013 OLEH PERDANA MENTERI


1. Saya teramat kesal sikap kerajaan Malaysia yang tidak adil dalam agihan bajet 2013 untuk pendidikan  kepada pelbagai kelompok warganegara. Di mana perginya 1Malaysia??
 
2.   Perkara yang amat ketara dalam pembentangan bajet tahunan oleh YAB PM pada 24/9/12 ialah TIADA peruntukan langsung untuk SEKOLAH AGAMA RAKYAT(SAR). Ini seolah-olah menggambarkan kerajaan UMNO-BN telah mendiskriminasikan ibubapa yang MEMILIH untuk menghantar anak-anak mereka di peringkat dasar(sekolah rendah) yang berorientasikan agama.

3.   Apa bezanya hak mereka ini dengan hak ibubapa yang memilih untuk menghantar anak ke SJKC, SJKT, Muballigh dan SK ? Bukankah ibubapa warganegara sah ini juga mempunyai hak menghantar anak mereka ke jenis persekolahan yang mereka pilih? Bukankah keperluan mereka juga diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia?

Petikan Perlembagaan Malaysia(Bahagian 2 Hak Asasi)
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.

(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau

(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).

4. Tiada peruntukan kewangan untuk Institusi pendidikan Islam seperti elaun guru, latihan perguruan dan sekolah KAFA seperti mana tahun-tahun sebelum ini menjadikan sekolah ini terus terpinggir dalam arus pendidikan perdana. Jauh sekali sekolah agama milik kerajaan negeri sedangkan institusi ini memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak bangsa. Aspek pendidikan ini tidak dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun kerajaan mendakwa agama Islam antara hak keistimewaan orang-orang Melayu.


5.   Peruntukan RM 100 juta yang diberikan kepada  Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah sekolah peringkat menengah bukan peringkat dasar(rebung) yang mahu diperkayakan dengan budaya dan jati ummat seperti yang dipraktikkan golongan Tionghua dan India, yang masing-masing diperuntukkan RM100 juta. Sekolah muballigh pun mendapat RM100juta. Kenapa SAR tidak dapat peruntukan langsung!!??


SABK tidak mewakili semua jenis sekolah agama

6.  Peruntukan SABK BUKANLAH bantuan menyeluruh kepada sekolah agama kerana masih banyak sekolah agama yang tidak bersedia untuk mendaftar. Kerajaan tidak boleh menyalahkan pihak sekolah dan negeri untuk tidak mendaftar sebagai alasan bantuan tidak diberikan kerana mereka telah berdaftar dengan Enakmen Majlis Agama Islam Negeri, berdaftar sebagai sekolah yang menjalankan peperiksaan kebangsaan, pelajar juga mendaftar sebagai calon peperiksaan. Lebih mustahak lagi mereka sudah mendaftar sebagai warganegara Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Negara bagi membolehkan peruntukan diberikan untuk kepentingan rakyat (ke mana pergi cukai untuk pendidikan mereka).

7. Ironinya, bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap murid dari darjah 1 hinggaTingkatan 5 boleh pula diberikan termasuk sekolah yang tidak berdaftar dengan kerajaan. Kesukaran dan sikap ambil mudah dalam memberikan perhatian kepada sekolah agama seolah-olah mereka bukan rakyat Malaysia! 

8.  Sekolah Agama milik kerajaan negeri berjumlah 107 buah dengan bilangan kelas 2, 064, bilangan guru 4, 680 orang, bilangan pelajar 62, 929. Sekolah agama milik masyarakat berjumlah 142 dengan jumlah kelas 1,392, bilangan guru 3, 073 dan pelajar berjumlah 37, 150.

Jumlah ini belum mengambil kira sekolah jenis yang sama bagi  peringkat rendah kerana operasinya yang berbeza antara negeri dengan negeri yang lain. Jumlah sekolah-sekolah ini ialah 1, 890, dengan jumlah guru 14, 167. Bilangan pelajarnya 529, 645 orang. Bilangan ini belum termasuk sekolah agama swasta dan sekolah yang diusahakan secara persendirian termasuk yang tidak mendaftar dengan mana-mana kerajaan yang jumlahnya tidak kecil. Kewujudan dan realitinya ada di hadapan kita. Jumlah ini secara kasarnya adalah 30 % daripada keseluruhan pelajar-pelajar Islam di seluruh Malaysia!

9.  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan oleh PM awal bulan lepas  menekankan keutamaan kepada peranan ibu bapa, masyarakat dan pihak swasta dalam memberikan sumbangan kepada sekolah sebagai rakan baru. Namun, semangat ini tidak diterjemahkan secara menyeluruh dalam bajet yang menganaktirikan sekolah agama.

10. Menyerahkan peranan ini kepada Kerajaan Negeri semata-mata atas nama agama kuasa negeri adalah sikap yang tidak bertanggungjawab kerana Negeri sendiri sudah lama terbeban dengan kewangan khususnya dalam aspek pendidikan. Negeri Selangor membelanjakan RM 264 juta untuk 2011.Negeri Kelantan, telah membelanjakan hampir 70 juta setahun untuk pendidikan untuk pendidikan dan ia semakin bertambah setiap tahun. Kedah, negeri yang agak miskin juga berkorban apabila sebanyak lebih daripada 60 juta diperuntukkan kepada pendidikan Islam..Perlu disebutkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah memainkan sebahagian besar peranan dalam melaksanakan kurikulum kebangsaan.

11. Sebahagian sekolah agama terpaksa ‘diswastakan’ dalam ‘negara Islam’Malaysia kerana kerajaan BN tidak mesra pendidikan Islam. Lama-kelamaan sekolah ini terpaksa menawarkan system pengajian yang agak mahal bagi meneruskan kelangsungan sistem pengajiannya atas dasar keperluan dan beban pendidikan jenis ini ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa dan masyarakat. Atas dasar inilah kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor memperuntukkan RM6juta setahun khusus untuk sekolah agama rakyat(SAR) semenjak 2009.Tahun ini ditambah sebanyak RM8.5juta sebagai pengiktirafan SAR melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

12. Persepsi sekolah agama berada di luar system pendidikan kebangsaan kurang tepat kerana dari sejarah ia sudah lama berubah system dari pondok kepada madrasah dan kemudiannya sekolah agama.  Tinggal lagi bagaimana kita meletakkannya dalam system pendidikan yang sesuai tanpa menjejaskan identiti, akar budaya dan kurikulum yang tersembunyi. Oleh sebab itulah, SABK yang menjadi cadangan baru kerajaan kepada sekolah agama dilihat bersifat material, birokratik dan berdepan dengan pelbagai tanggapan keyakinan.

13. Apakah usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkasakan LEPAI sepertimana yang telah dititah oleh Yang Dipertuan Agung dalam Kongres Majlis-Majlis Agama Islam Negeri 2011. Titahan Diraja ini diperkukuhkan lagi dengan Kongres Pendidikan Islam Kebangsaan pada awal tahun ini di Perlis di mana Raja Perlis telah menitahkan perkara yang sama. Apakah kerajaan secara diam telah membelakangi Majlis Raja-Raja dalam menjaga institusi Pendidikan Islam sepertimana yang di amanah kepada mereka? Apakah peranan yang dimainkan oleh PM selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKIK)?

14. Sudah banyak  Seminar Pendidikan Islam sama ada peringkat kebangsaaan mahupun antarabangsa diadakan, pelbagai cadangan dan saranan dikemukakan namun kerajaan masih mengambil sikap pekak, bisu dan buta dalam menjaga keperluan pendidikan Islam dalam masyarakat. Pada tahun lepas sahaja sebanyak 11 seminar tentang pendidikan Islam dianjurkan termasuk anjuran JAKIM dan Kementerian Pelajaran sendiri.

15. Bantuan kepada sekolah agama sebelum ini tidak konsisten, sekejap timbul sekejap tenggelam sedangkan kerja-kerja mereka tidak pernah berhenti untuk membina anak bangsa sesuai dengan Falsafah Pendidikan Islam dan Kebangsaan. Sebarang bentuk bantuan kepada sekolah agama tidak seharusnya dijadikan medan untuk lobi-melobi dalam kalangan agamawan dan ahli politik kerana ia seharusnya diberikan atas dasar tanggungjawab. Ia tidak perlu melalui desakan dan tuntutan mana-mana pihak.

16. Hakikatnya, salah satu kesan besar kejayaan kolonialisme British ialah memecahkan identity Melayu yang terikat kuat dengan identity keIslaman satu ketika dahulu hancur dengan perancangan licik dalam aspek pendidikan. British akhirnya berjaya memisahkan pendidikan Islam yang menjadi asas utama pembinaan dunia Melayu kepada dunia pendidikan Melayu yang sempit. Pendidikan Islam secara perlahan-lahan menjadi kabur dalam peta nasionalisme  yang dikemudikan oleh kerajaan UMNO –Barisan Nasional.


YB Dr Hjh Halimah Ali
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan
Kerajaan Negeri Selangor
MerangkapTimbalan Pengerusi
Lajnah Pendidikan PAS Pusat
3.10.12