KENYATAAN AKHBAR
YB
PUAN DR.HJH HALIMAH ALI
EXCO PENDIDIKAN KERAJAAN
NEGERI SELANGOR
PENGABAIAN BANTUAN
SEKOLAH AGAMA MILIK MASYARAKAT(SAR) DALAM PEMBENTANGAN BAJET 2013 OLEH PERDANA
MENTERI
1. Saya teramat kesal sikap kerajaan Malaysia yang tidak
adil dalam agihan bajet 2013 untuk pendidikan
kepada pelbagai kelompok warganegara. Di mana perginya 1Malaysia??
2. Perkara yang amat ketara dalam pembentangan bajet tahunan
oleh YAB PM pada 24/9/12 ialah TIADA peruntukan langsung untuk SEKOLAH AGAMA
RAKYAT(SAR). Ini seolah-olah menggambarkan kerajaan UMNO-BN telah
mendiskriminasikan ibubapa yang MEMILIH untuk menghantar anak-anak mereka di
peringkat dasar(sekolah rendah) yang berorientasikan agama.
3. Apa bezanya hak mereka ini dengan hak ibubapa yang
memilih untuk menghantar anak ke SJKC, SJKT, Muballigh dan SK ? Bukankah
ibubapa warganegara sah ini juga mempunyai hak menghantar anak mereka ke jenis
persekolahan yang mereka pilih? Bukankah keperluan mereka juga diperuntukkan
dalam Perlembagaan Malaysia?
Petikan Perlembagaan
Malaysia(Bahagian 2 Hak Asasi)
Perkara 12. Hak
berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa
menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap
mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat
lahir—
(a) dalam
pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak
berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau
pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan
bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi
penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana
institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau
tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
4. Tiada peruntukan kewangan untuk Institusi pendidikan
Islam seperti elaun guru, latihan perguruan dan sekolah KAFA seperti mana
tahun-tahun sebelum ini menjadikan sekolah ini terus terpinggir dalam arus
pendidikan perdana. Jauh sekali sekolah agama milik kerajaan negeri
sedangkan institusi ini memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
bangsa. Aspek pendidikan ini tidak dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun
kerajaan mendakwa agama Islam antara hak keistimewaan orang-orang Melayu.
5. Peruntukan RM 100 juta yang diberikan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah
sekolah peringkat menengah bukan peringkat dasar(rebung) yang mahu diperkayakan
dengan budaya dan jati ummat seperti yang dipraktikkan golongan Tionghua dan
India, yang masing-masing diperuntukkan RM100 juta. Sekolah muballigh pun
mendapat RM100juta. Kenapa SAR tidak dapat peruntukan langsung!!??
SABK
tidak mewakili semua jenis sekolah agama
6. Peruntukan SABK BUKANLAH bantuan menyeluruh kepada
sekolah agama kerana masih banyak sekolah agama yang tidak bersedia untuk
mendaftar. Kerajaan tidak boleh menyalahkan pihak sekolah dan negeri untuk
tidak mendaftar sebagai alasan bantuan tidak diberikan kerana mereka telah berdaftar
dengan Enakmen Majlis Agama Islam Negeri, berdaftar sebagai sekolah yang
menjalankan peperiksaan kebangsaan, pelajar juga mendaftar sebagai calon
peperiksaan. Lebih mustahak lagi mereka sudah mendaftar sebagai warganegara
Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Negara bagi membolehkan peruntukan diberikan
untuk kepentingan rakyat (ke mana pergi cukai untuk pendidikan mereka).
7. Ironinya, bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap
murid dari darjah 1 hinggaTingkatan 5 boleh pula diberikan termasuk sekolah
yang tidak berdaftar dengan kerajaan. Kesukaran dan sikap ambil mudah dalam
memberikan perhatian kepada sekolah agama seolah-olah mereka bukan rakyat
Malaysia!
8. Sekolah Agama milik kerajaan negeri berjumlah 107 buah
dengan bilangan kelas 2, 064, bilangan guru 4, 680 orang, bilangan pelajar 62,
929. Sekolah agama milik masyarakat berjumlah 142 dengan jumlah kelas 1,392,
bilangan guru 3, 073 dan pelajar berjumlah 37, 150.
Jumlah ini belum
mengambil kira sekolah jenis yang sama bagi
peringkat rendah kerana operasinya yang berbeza antara negeri dengan
negeri yang lain. Jumlah sekolah-sekolah ini ialah 1, 890, dengan jumlah guru 14,
167. Bilangan pelajarnya 529, 645 orang. Bilangan ini belum termasuk sekolah
agama swasta dan sekolah yang diusahakan secara persendirian termasuk yang
tidak mendaftar dengan mana-mana kerajaan yang jumlahnya tidak kecil. Kewujudan
dan realitinya ada di hadapan kita. Jumlah ini secara kasarnya adalah 30 %
daripada keseluruhan pelajar-pelajar Islam di seluruh Malaysia!
9. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan
oleh PM awal bulan lepas menekankan
keutamaan kepada peranan ibu bapa, masyarakat dan pihak swasta dalam memberikan
sumbangan kepada sekolah sebagai rakan baru. Namun, semangat ini tidak
diterjemahkan secara menyeluruh dalam bajet yang menganaktirikan sekolah agama.
10. Menyerahkan
peranan ini kepada Kerajaan Negeri semata-mata atas nama agama kuasa negeri
adalah sikap yang tidak bertanggungjawab kerana Negeri sendiri sudah lama
terbeban dengan kewangan khususnya dalam aspek pendidikan. Negeri Selangor
membelanjakan RM 264 juta untuk 2011.Negeri Kelantan, telah membelanjakan
hampir 70 juta setahun untuk pendidikan untuk pendidikan dan ia semakin
bertambah setiap tahun. Kedah, negeri yang agak miskin juga berkorban apabila
sebanyak lebih daripada 60 juta diperuntukkan kepada pendidikan Islam..Perlu
disebutkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah memainkan sebahagian besar peranan
dalam melaksanakan kurikulum kebangsaan.
11. Sebahagian
sekolah agama terpaksa ‘diswastakan’ dalam ‘negara Islam’Malaysia kerana kerajaan
BN tidak mesra pendidikan Islam. Lama-kelamaan sekolah ini terpaksa menawarkan
system pengajian yang agak mahal bagi meneruskan kelangsungan sistem
pengajiannya atas dasar keperluan dan beban pendidikan jenis ini ditanggung
sepenuhnya oleh ibu bapa dan masyarakat. Atas dasar inilah kerajaan Pakatan
Rakyat negeri Selangor memperuntukkan RM6juta setahun khusus untuk sekolah
agama rakyat(SAR) semenjak 2009.Tahun ini ditambah sebanyak RM8.5juta sebagai
pengiktirafan SAR melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
12. Persepsi
sekolah agama berada di luar system pendidikan kebangsaan kurang tepat kerana
dari sejarah ia sudah lama berubah system dari pondok kepada madrasah dan
kemudiannya sekolah agama. Tinggal lagi
bagaimana kita meletakkannya dalam system pendidikan yang sesuai tanpa
menjejaskan identiti, akar budaya dan kurikulum yang tersembunyi. Oleh sebab
itulah, SABK yang menjadi cadangan baru kerajaan kepada sekolah agama dilihat
bersifat material, birokratik dan berdepan dengan pelbagai tanggapan keyakinan.
13. Apakah usaha
yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkasakan LEPAI sepertimana yang telah
dititah oleh Yang Dipertuan Agung dalam Kongres Majlis-Majlis Agama Islam
Negeri 2011. Titahan Diraja ini diperkukuhkan lagi dengan Kongres Pendidikan
Islam Kebangsaan pada awal tahun ini di Perlis di mana Raja Perlis telah
menitahkan perkara yang sama. Apakah kerajaan secara diam telah membelakangi
Majlis Raja-Raja dalam menjaga institusi Pendidikan Islam sepertimana yang di
amanah kepada mereka? Apakah peranan yang dimainkan oleh PM selaku Pengerusi
Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKIK)?
14. Sudah
banyak Seminar Pendidikan Islam sama ada
peringkat kebangsaaan mahupun antarabangsa diadakan, pelbagai cadangan dan
saranan dikemukakan namun kerajaan masih mengambil sikap pekak, bisu dan buta
dalam menjaga keperluan pendidikan Islam dalam masyarakat. Pada tahun lepas
sahaja sebanyak 11 seminar tentang pendidikan Islam dianjurkan termasuk anjuran
JAKIM dan Kementerian Pelajaran sendiri.
15. Bantuan
kepada sekolah agama sebelum ini tidak konsisten, sekejap timbul sekejap
tenggelam sedangkan kerja-kerja mereka tidak pernah berhenti untuk membina anak
bangsa sesuai dengan Falsafah Pendidikan Islam dan Kebangsaan. Sebarang bentuk
bantuan kepada sekolah agama tidak seharusnya dijadikan medan untuk lobi-melobi
dalam kalangan agamawan dan ahli politik kerana ia seharusnya diberikan atas
dasar tanggungjawab. Ia tidak perlu melalui desakan dan tuntutan mana-mana
pihak.
16. Hakikatnya,
salah satu kesan besar kejayaan kolonialisme British ialah memecahkan identity
Melayu yang terikat kuat dengan identity keIslaman satu ketika dahulu hancur
dengan perancangan licik dalam aspek pendidikan. British akhirnya berjaya
memisahkan pendidikan Islam yang menjadi asas utama pembinaan dunia Melayu
kepada dunia pendidikan Melayu yang sempit. Pendidikan Islam secara
perlahan-lahan menjadi kabur dalam peta nasionalisme yang dikemudikan oleh kerajaan UMNO –Barisan
Nasional.
YB Dr Hjh Halimah Ali
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan
Kerajaan Negeri Selangor
MerangkapTimbalan Pengerusi
Lajnah Pendidikan PAS Pusat
3.10.12
No comments:
Post a Comment