Thursday, March 13, 2014

KENYATAAN AKHBAR TUTUP SEKOLAH SEKIRANYA KADAR IPU DI TAHAP MELAMPAUI HAD SELAMAT



KENYATAAN AKHBAR

TUTUP SEKOLAH SEKIRANYA KADAR IPU DI TAHAP MELAMPAUI HAD SELAMAT

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan memandang berat tentang kualiti udara di Selangor mutakhir ini. Jerebu yang teruk boleh menganggu sistem pernafasan dan menjejas kesihatan penduduk terutama sekali anak kecil, warga emas dan berpenyakit kronik.

Saya sangat bimbang ia melibatkan golongan yang terpaksa keluar daripada rumah khususnya 933,699  pelajar daripada sekolah yang berdaftar dengan jabatan Pendidikan Selangor. Kemungkinan jika di jumlah sekali dengan pelajar tadika dan sekolah swasta yang tidak masuk dalam data Jabatan Pendidikan ia boleh mencecah 1juta orang.

Mengikut statistik Jabatan Alam Sekitar bacaan IPU di Pelabuhan Klang pada tarikh 13 Mac 2014 Jam 9 pagi mencatatkan bacaan 148 (Kategori: Tidak Sihat).

Justeru saya menyeru Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor mengambil langkah proaktif bersinergi dengan Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan menutup sekolah apablia IPU sudah melampaui had yang selamat dengan mengambil kira keadaan sebenar rakyat.

Jabatan  perlu peka dengan mengambil kira keadaan kepada lonjakan mendadak kes-kes penyakit yang dikaitkan dengan punca pencemaran udara khususnya jerebu ini. Bahagian Pendidikan JAIS juga diseru mengambil tindakan menutup sekolah sekiranya keadaan memaksa, demi menjaga kemaslahatan pelajar.

Terima kasih

YANG BERHORMAT DR. HJH. HALIMAH ALI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan,
Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan

13 Mac 2014

No comments:

Post a Comment