Wednesday, April 23, 2014

JURNAL BERITA - Ops Dawn Raid bukti MB pemimpin berpengalaman luas

MB Selangor gesa ubah sikap malu membaca


                             
SHAH ALAM - Minat membaca penting kepada rakyat Malaysia bagi menguasai pelbagai bentuk ilmu pengetahuan terutamanya di kalangan generasi muda demi kemajuan negara pada masa depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, faktor utama sesebuah negara menjadi maju adalah dengan pengetahuan yang luas dalam semua aspek terutama dalam bidang ekonomi.

“Dalam usaha kita memajukan negara, sistem perkhidmatan perlu diutamakan kerana ia merupakan satu faktor utama menjayakan ekonomi baru sesebuah negara.

“Justeru, dua perkara perlu dititik beratkan iaitu pengetahuan dan kecekapan kerja. Kedua-dua perkara ini boleh ditingkatkan dengan minat membaca dalam kalangan rakyat kita,” katanya ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, semalam.

Program yang diinspirasikan konsep Earth Hour ini dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bertujuan menggalakkan masyarakat agar suka membaca dan menjadikan perpustakaan relevan dalam kehidupan masyarakat.
Pada pelancarannya, rakyat Malaysia akan membaca bersama selama 10 minit.

Abdul Khalid turut menambah, antara matlamat penganjuran program ini juga mahu mengubah sikap masyarakat yang dilihat masih ‘malu’ untuk membaca bahan bacaan pada masa terluang.

“Masyarakat kita tidak mempunyai minat menatap buku di tempat terbuka dan menjadi tumpuan orang ramai seperti di perhentian bas seperti yang diamalkan rakyat negara negara maju.

“Tidak wajar sekiranya kita asyik bersama gajet dan peralatan komunikasi terkini sehingga lupa kepada kewujudan buku dan manfaatnya kepada kita,” katanya.

Tambahnya, walaupun kerajaan negeri dilihat lebih mengutamakan pembangunan dan kemajuan dalam aspek ekonomi, namun tidak meminggirkan mana-mana golongan termasuk buta huruf, sebaliknya cuba membantu golongan berkenaan.

“Oleh itu, saya menasihati seluruh rakyat supaya membaca setiap hari dan memahami perkara yang dibaca serta amalkannya,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan buku bertajuk 'Oh, Baru Tahu Uniknya Dunia Kita' terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

Thursday, April 3, 2014

JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT/LET’S READ TOGETHER FOR 10 MINUTES Sempena HARI BUKU DAN HAKCIPTA SEDUNIA 2014

KENYATAAN MEDIA  :
JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT/LET’S READ TOGETHER FOR 10 MINUTES
Sempena
HARI BUKU DAN HAKCIPTA SEDUNIA 2014




LATAR BELAKANG

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor telah menjenama program-program Gerakan Membacanya bermula pada tahun 2010, apabila DYMM Sultan Selangor merasmikan Gerakan Membaca Perdana Negeri Selangor, bersempena Hari Ilmu Negeri Selangor pada 26 Jun 2010. Di mana acara kemuncak ketika itu adalah acara “The Largest Outdoor Reading Event in Malaysia” yang berjaya mengumpulkan sejumlah 15,271 rakyat Selangor membaca di sekeliling Taman Tasik Shah Alam.

Susulan daripada itu, pada tahun-tahun berikutnya iaitu 2011, 2012, 2013, “15 Minutes Reading Break” telah dilaksanakan secara berterusan pada Hari Ilmu di seluruh negeri Selangor.

Pada tahun ini bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia, program JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT/LET’S READ TOGETHER FOR 10 MINUTES akan diadakan di seluruh Malaysia bersama Perpustakaan Awam Negeri-Negeri Se-Malaysia.

Program ini merupakan sebahagian daripada gerakan membaca yang dijalankan setiap tahun sebagai usaha berterusan membentuk masyarakat ke arah membudayakan tabiat membaca. Pada tahun ini, kesemua perpustakaan awam negeri bersetuju untuk melaksanakannya secara serentak pada hari, tarikh dan masa yang sama, iaitu pada 22 April 2014 pada jam 10.00 hingga 10.10 pagi. Konsepnya diilhamkan daripada sambutan Earth Hour di mana dalam program ini, semua peserta—tanpa mengira apa jua pekerjaan atau aktiviti yang sedang dilakukan—akan sama-sama  berhenti sebentar dan membaca selama 10 minit secara serentak.

Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia sekaligus menjadikan Perpustakaan Awam Negeri-negeri Se-Malaysia relevan dalam masyarakat dan memartabatkan pustakawan sebagai warga pendidik selepas sekolah. Ia merupakan  inisiatif membaca di bawah kelolaan setiap perpustakaan awam negeri masing-masing bersama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia.



AGENSI PENGANJUR

Program ini adalah anjuran PPAS dan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama agensi berikut : (PPAS sebagai urus setia dan mengetuai program ini)

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Jabatan Pelajaran Negeri
Pejabat Pendidikan Daerah
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM
Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM
Jabatan / Badan Berkanun Pusat dan Negeri
Jabatan Pelancongan Negeri
Penggerak Belia Tempatan (PeBT)
IPTA/IPTS
Lain-lain jabatan
Pusat Beli-Belah/ Pasar Tani/ Pasar Pagi/ Lapangan Terbang/ penaja yang ingin mengikuti program ini bersama.

Ia turut diterajui oleh semua Perpustakaan Awam Negeri Se-Malaysia  (di bawah Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM)

i)                    Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah
ii)                   Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang
iii)                 Perbadanan Perpustakaan Perak
iv)                Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
v)                 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan
vi)                Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka
vii)              Perbadanan Perpustakaan Awam Johor
viii)             Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang
ix)                 Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu
x)                  Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan
xi)                 Pustaka Negeri Sarawak
xii)               Perpustakaan Negeri Sabah
xiii)              Perpustakaan Kuala Lumpur


OBJEKTIF PROGRAM

Sebagai langkah pertama ke arah menjenama inisiatif membaca dengan tujuan menjadikan perpustakaan sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan selepas waktu persekolahan (school after school).

Mewujudkan sinergi yang cekap antara 13 perpustakaan awam negeri seluruh Malaysia dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri, jabatan dan agensi lain di peringkat negeri dan nasional dalam merangka proses pembelajaran sepanjang hayat yang holistik.

Melahirkan masyarakat dan generasi muda yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran yang tinggi.

PELAKSANAAN

Program ini akan dilaksanakan pada 22 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 22 April 2014 (Selasa) selama 10 MINIT dari jam 10.00 PAGI hingga 10.10 PAGI secara serentak di seluruh Malaysia.

Sasaran pembaca  meliputi  pelbagai lapisan  masyarakat yang terdiri:
a)     Kanak – kanak pra sekolah atau seawal boleh bertutur ( 2 tahun)
b)     Pelajar Sekolah-sekolah seluruh Malaysia
c)     IPTA dan IPTS seluruh negara
d)     Kakitangan awam dan semua agensi kerajaan
e)     Badan-badan korporat dan GLC seluruh Malaysia
f)       Kakitangan swasta/syarikat seluruh Malaysia
g)     Persatuan dan NGO seluruh Malaysia
h)     Pengguna-pengguna Perpustakaan Awam/Akademik/Khusus seluruh Malaysia
i)        Individu atau orang perseorangan yang terlibat
j)        Pusat membeli-belah.

Program ini akan dijalankan SECARA SERENTAK di seluruh negara di lokasi masing-masing. Setiap lokasi yang menyertai akan dibekalkan borang sebagai bukti penglibatan. Borang mestilah dilampirkan dengan foto kepada urus setia.

Data perhimpunan program ini akan dikumpulkan oleh urus setia: Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, untuk direkodkan.


Majlis Perasmian akan turut diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam oleh YAB Menteri Besar Selangor

Pihak urus setia memohon kepada semua warga negeri Selangor, penjawat awam di mana sahaja anda berada untuk berhenti sebentar membaca hanya 10 minit pada 22 April 2014. Hebah dan war-warkan perkara ini kepada semua rakan taulan dan komuniti di sekitar lokasi anda.

Diharapkan agar progam JOM BACA BERSAMA NTUK 10 MINIT/LET’S READ TOGETHER FOR 10 MINUTES dapat dicapai dan dilaksanakan dengan berkesan diseluruh negara kearah memupuk masyarakat atau rakyat Malaysia sukakan pengetahuan, cintakan ilmu serta membudayakan membaca. Kerjasama dari semua pihak amat harapkan bagi kelancaran program ini. Program ini adalah satu langkah pertama hasil kerjasama dari pelbagai pihak dan sudut. Adalah menjadi satu harapan agar program ini dapat diteruskan pada setiap tahun yang akan datang.



Disediakan oleh :
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor