Wednesday, April 23, 2014

MB Selangor gesa ubah sikap malu membaca


                             
SHAH ALAM - Minat membaca penting kepada rakyat Malaysia bagi menguasai pelbagai bentuk ilmu pengetahuan terutamanya di kalangan generasi muda demi kemajuan negara pada masa depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, faktor utama sesebuah negara menjadi maju adalah dengan pengetahuan yang luas dalam semua aspek terutama dalam bidang ekonomi.

“Dalam usaha kita memajukan negara, sistem perkhidmatan perlu diutamakan kerana ia merupakan satu faktor utama menjayakan ekonomi baru sesebuah negara.

“Justeru, dua perkara perlu dititik beratkan iaitu pengetahuan dan kecekapan kerja. Kedua-dua perkara ini boleh ditingkatkan dengan minat membaca dalam kalangan rakyat kita,” katanya ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, semalam.

Program yang diinspirasikan konsep Earth Hour ini dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bertujuan menggalakkan masyarakat agar suka membaca dan menjadikan perpustakaan relevan dalam kehidupan masyarakat.
Pada pelancarannya, rakyat Malaysia akan membaca bersama selama 10 minit.

Abdul Khalid turut menambah, antara matlamat penganjuran program ini juga mahu mengubah sikap masyarakat yang dilihat masih ‘malu’ untuk membaca bahan bacaan pada masa terluang.

“Masyarakat kita tidak mempunyai minat menatap buku di tempat terbuka dan menjadi tumpuan orang ramai seperti di perhentian bas seperti yang diamalkan rakyat negara negara maju.

“Tidak wajar sekiranya kita asyik bersama gajet dan peralatan komunikasi terkini sehingga lupa kepada kewujudan buku dan manfaatnya kepada kita,” katanya.

Tambahnya, walaupun kerajaan negeri dilihat lebih mengutamakan pembangunan dan kemajuan dalam aspek ekonomi, namun tidak meminggirkan mana-mana golongan termasuk buta huruf, sebaliknya cuba membantu golongan berkenaan.

“Oleh itu, saya menasihati seluruh rakyat supaya membaca setiap hari dan memahami perkara yang dibaca serta amalkannya,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan buku bertajuk 'Oh, Baru Tahu Uniknya Dunia Kita' terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment